Baki dua minggu sebelum Liga Super membuka tirai menyaksikan pengendali Pahang, Dollah Salleh, terpaksa mengakui pasukan kendaliannya itu masih terumbang-ambing ekoran penghijrahan tonggak pertahanannya, Matthew Davies, ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, tempoh dua minggu merupakan waktu yang singkat untuk mencari pengganti pemain bek kanan tersebut selain mengakui berdepan cabaran bagi mempersiapkan skuad Tok Gajah, musim ini.

Dia juga menambah Pahang tiada perancangan untuk mencari pemain lain dan akan mempertaruhkan pemain sedia ada.

"Dia mahu pergi. Cuma, ia berlaku di saat akhir. Sampai sekarang, kami masih terumbang-ambing. Ada pemain yang cedera, kemudian awang import baru sampai," katanya.

Sementara itu, pemerhati bolasepak tempatan, Asmawi Bakiri, melihat penghijrahan Davies ke skuad Harimau Selatan melengkapkan pasukan berkenaan untuk memberi cabaran di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia.

Pengalaman pemain berusia 25 tahun itu dilihat mampu mengukuhkan bahagian benteng JDT tatkala S. Kunanlan berdepan faktor usia semakin meningkat dan Azrif Nasrulhaq mengalami kecederaan serius.

"Penampilan, cara permainan serta jumlah gerakan dilakukan Davies ada kelebihan. Tidak dinafikan apa yang dilakukan Kunanlan tetapi apa yang boleh disumbangkan Davies di situ sudah pasti akan melengkapkan kekuatan individu di bahagian kanan," katanya.


Editor: Nafis Abdullah