Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menganggap pasukannya berhak meraih mata penuh dalam kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC di Kuala Nerus, malam tadi.

Gembira dengan aksi sepanjang 90 minit permainan, Durakovic berkata ketua pasukan, Shahrul Saad, juga memberikan impak kepada pasukan selepas mereka ketinggalan satu gol.

Menurut jurulatih Australia itu, tuan rumah bermain baik pada awalnya namun Perak lebih berjaya menambah tekanan sehingga bangkit memimpin perlawanan dalam babak kedua.



"Kami mungkin dapat menambah lima atau enam gol lagi jika tidak kerana kecekapan penjaga gol muda Terengganu," jelas Durakovic.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Sanjar Shaakhmedov terlebih dahulu menggamatkan penyokong Terengganu dengan gol pembukaan pada minit ke-18.

Kelebihan itu gagal dipertahankan tuan rumah dan Perak menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Guilherme De Paula empat minit sebelum rehat.

Shahrul (m-53) kemudian menanduk kemas gol kedua Perak disusuli rembatan leret De Paula untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-80.

"Saya sangat gembira dan tidak boleh minta lebih lagi kerana pemain-pemain memberikan yang terbaik termasuk yang masuk dari bangku simpanan," tambahnya lagi.