Perak FC sah menamatkan kontrak ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic, secara persetujuan bersama, demikian diumumkan kelab Liga Super itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut skuad The Bos Gaurus itu, keputusan berat berkenaan terpaksa diambil atas persetujuan Durakovic, yang mahu pulang ke Australia bagi menyelesaikan urusan keluarganya.

Menjelang sepak mula Liga Super pada 5 Mac ini, bekas pemain Perak, Chong Yee Fatt, dipilih untuk menggantikan tempat Durakovic dan satu rundingan telah diadakan dengan Kuala Lumpur United FC untuk membawa pulang jurulatih itu.

"Pengurusan Perak FC dan Mehmet Durakovic bersetuju secara bersama untuk menamatkan kontrak beliau sebagai ketua jurulatih Perak FC atas permintaan Mehmet sendiri yang memaklumkan beliau ingin pulang ke Australia untuk menyelesaikan urusan keluarga," kata kenyataan itu.

"Rundingan ini telah berjalan selama lebih seminggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmet, yang memilih untuk kembali ke Australia.

"Ia merupakan satu keputusan yang sukar dan berat untuk kami putuskan dan pastinya ia satu kehilangan yang besar kepada pasukan.

"Pengurusan telah mengenal pasti beberapa nama yang sesuai untuk menggantikan posisi beliau sebagai ketua jurulatih Perak. Atas nasihat Mehmet, kami telah memilih Chong Yee Fatt sebagai pengganti beliau.

"Satu rundingan bersama Kuala Lumpur United FC telah dibuat untuk membawa pulang jurulatih Chong Yee Fatt bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Perak," katanya.