Ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur United FC, Stanley Bernard, menyifatkan kualiti yang dimiliki oleh pengendali kelahiran Croatia, Bojan Hodak, bertepatan dengan perancangan jangka masa panjang pasukan.

Pengendali berpengalaman dari Croatia, Bojan Hodak, semalam telah mendedahkan dia menerima tawaran untuk bertindak sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur United bagi saingan Liga Super musim ini.

"Minggu lalu, Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur United FC) telah menghubungi saya dan menerangkan ideanya untuk skuad Kuala Lumpur, ia bersifat jangka masa panjang. Ia merupakan sesuatu yang baharu kerana beberapa pasukan lain mahukan kejayaan dalam masa terdekat. Jadi mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia, kata Bojan.

Stanley menjelaskan mereka kini di fasa mendapatkan pengiktirafan daripada pihak badan induk bola sepak Asia dan menyifatkan kualiti serta pengalaman dimiliki Bojan amat bersesuaian dengan perancangan Kuala Lumpur.

"Kami sedang melengkapkan setiap butiran yang telah disediakan oleh Bojan bagi mendapatkan pengiktirafan daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)," kata Stanley.

"Dengan rangka panjang telah disediakan pasukan ini, Bojan merupakan jurulatih yang paling sesuai untuk mengendalikan pasukan.

"Saya turut mendapatkan maklum balas positif daripada pemain-pemain, staf pasukan serta pihak pengurusan bahawa ia merupakan satu keputusan terbaik bagi membawa Bojan ke Kuala Lumpur United."

Bekas pengendali Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersetuju dengan kontrak selama setahun dan memiliki pilihan untuk melanjutkannya untuk satu tahun.