Pengalaman musim lalu menjadi panduan buat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk bersedia terhadap segala kemungkinan mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021, termasuk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 26 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan pengelola Liga-M itu hari ini berkata MFL sudah ada langkah-langkah tertentu jika keadaan itu berterusan bagi memastikan semua pertandingan Liga-M 2021 dapat berlangsung seperti dirancang.

Namun, memandangkan tempoh pelaksanaan PKP buat masa ini hanya selama dua minggu, iaitu dari 13 hingga 26 Januari ini, dia menegaskan bahawa perancangan asal masih kekal dan Liga-M akan memulakan saingan pada 26 Februari ini.

“MFL menerima langkah kerajaan dalam melaksanakan PKP bagi negeri-negeri tertentu kerana indeks kes COVID-19 yang semakin tinggi dan kami faham akan keperluan berkenaan.

“Sememangnya besar harapan kami agar PKP ini tidak berpanjangan kerana kalendar Liga Malaysia telah dikeluarkan termasuk piala-piala tertentu bagi memastikan musim 2021 lebih lancar dan teratur.

“Bagaimanapun, MFL sudah ada pengalaman dalam musim 2020 dan kami ada langkah-langkah tertentu jika situasi ini berpanjangan atau ada masalah sebagainya.

“Cuma buat masa ini perancangan MFL masih kekal dengan kalendar sedia ada kerana situasi sekarang masih di peringkat awal memandangkan kita masih dalam bulan Januari berbanding sebelum ini PKP yang dilaksanakan pada Mac.

“Jika PKP ditarik balik pada 26 Januari, maka semua pasukan mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan persiapan pra-musim bagi menghadapi liga yang akan bermula dengan Piala Sumbangsih pada 26 Februari ini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama dikenakan di enam negeri lain, iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala dua negeri lagi, iaitu Perlis dan Sarawak, akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Pelaksanaan PKP bermakna sebarang aktiviti sukan berkumpulan yang membabitkan latihan dan perlawanan bola sepak, tidak dibenarkan.

PENGALAMAN MUSIM LEPAS JADI PANDUAN MFL Pengalaman pada musim lalu menjadi panduan buat Malaysian Football League (MFL)...

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, 12 January 2021

Sementara itu, Ab Ghani meminta kerjasama semua pasukan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang musim ini agar dapat memastikan Liga-M dapat berlangsung tanpa sebarang masalah apabila mendapat lampu hijau daripada kerajaan.

“Pasukan-pasukan termasuk pegawai dan pemain diharapkan sentiasa menjaga SOP dan keselamatan masing-masing kerana kita semua punyai tugas tersendiri.

“Kita harapkan liga pada 2021 dapat berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah yang membabitkan COVID-19 membabitkan sebarang pasukan seperti mana kita lakukan pada musim 2020,” katanya lagi.