Pahang tidak peduli dengan implikasi keputusan pertemuan menentang Kedah malam esok yang mampu memberi impak kepada penentuan kejuaraan Liga Super musim ini.

Johor Darul Ta'zim (JDT) meniti landasan tepat mempertahankan kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut.

Kemenangan tuan rumah akan menutup sebarang peluang buat mana-mana pencabar terdekat untuk menggugat misi JDT mempertahankan gelaran yang dimenangi sejak 2014 itu sambil saingan menuju ke kemuncak dengan tiga perlawanan lagi musim ini.

Jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh -- yang kehilangan khidmat bintang import, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon, ketika seri 2-2 dengan Felda United, Ahad lalu -- sedia mempertaruhkan barisan muda di sebalik berdepan misi getir.

"Saya tidak peduli dengan pasukan lain tetapi yang penting, Pahang memerlukan tiga mata.

"Kami sedar Kedah di kedudukan yang baik ketika ini.

"Dengan masalah yang menghadapi kami dan selepas mencatatkan sekali seri dan menang dalam dua perlawanan terakhir, saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain muda selain kembalinya Goulon (daripada kecederaan) mampu mantapkan lagi bahagian benteng," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, petang tadi.




Dollah juga mengakui Tok Gajah mempunyai perancangan untuk menyekat Lang Merah tanpa perlu merantai dua penyerang import Kedah, Kpah Sherman dan Tcetche Kipre, daripada mengganas di Stadium Darulmakmur.

"Saya tidak tetapkan (pemain saya) untuk menjadi pemain Kedah (secara khusus), saya mengharapkan pemain tahu tugas yang diberikan.

"Kami tidak boleh leka, kami sedia maklum kekuatan Kedah cuma kami mahu pastikan dalam setiap situasi itu pemain tidak boleh leka, khasnya dua penyerang import yang dimiliki Kedah."