Norizam: Liga-M perlukan Kelantan saingi JDT

By Shaiful Shamsudin 7 September 2020 7853
Norizam: Liga-M perlukan Kelantan saingi JDT
Pemilik baru skuad Kelantan, Norizam Tukiman, berhasrat menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT), baik persembahan di atas padang apabila menyedari liku-liku yang perlu ditempuhi sebelum The Red Warriors kembali dicanang sebagai pencabar utama. 

Ahli perniagaan itu memasang hasrat besar selepas melengkapkan proses pemilikan bekas juara 'treble' 2012 berkenaan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada Khamis lalu dan sudah mempunyai perancangan untuk membangkitkan aura pasukan dari Pantai Timur tersebut. 

"Saya memang minat bola. Saya nampak JDT ada pembangunan tetapi sedar mengapa pasukan lain tiada?

"Jadi saya rasa perkara-perkara seperti ini perlu diketengahkan melalui individu-individu yang betul. 

"Bila langkah penswastaan berlaku, saya nampak peluang mengemudi pasukan kelab sendiri.

"Ini impian saya.

"Kalau JDT lawan Kelantan memang best sebab pertembungan kedua-dua pasukan ini akan menjadi menarik.

"Kelantan memiliki satu-satunya pasukan yang mempunyai jumlah penyokong yang besar, kalau masuk Liga M3, bola sepak pasti akan hilang serinya," katanya dalam konti rancangan [email protected] di Astro Arena, hari ini. 

Sebagai kesinambungan kejayaan pada masa depan, TRW meletakkan tiga asas iaitu pulangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang  

"Saya tidak perlukan publisiti tetapi bola sepak perlukan sokongan supaya dapat menjadikannya sebagai satu industri.

"Dengan penswastaan pasukan, jalan ke arah korporat itu ada. Saya sudah mengulang kaji mengenainya.

"Entiti ini dapat diuruskan dengan lebih baik tanpa campur tangan. 

"Saya suka kalau orang pandang sinis terhadap saya ingin berhasrat menjadikan pasukan ini bernilai RM1 bilion di bursa saham. 

"Saya bukan jenis main-main, saya cakap saya buat. Kepercayaan adalah paling mahal dalam perniagaan."

Bagi menjayakan hasrat tingginya itu, Norizam mahu menyediakan prasarana berkualiti membabitkan gelanggang latihan. 

"Saya nak pajak padang latihan MARDI, yang digunakan pasukan ketika ini, selama 30 tahun bagi saya mewujudkan pusat latihan yang setanding dengan JDT demi imej dan kelesaan pasukan. 

"(Kalau ada) mana-mana warga Kelantan yang sudi wakafkan tanah atau bekerjasama dengan saya. Bolehlah kami laksanakan perkara ini secepat mungkin," katanya. 

Tambahnya: "Saya juga bercadang menjalinkan kerjasama dengan USM Kubang Kerian bagi tujuan sains sukan agar perjalanan kami menjadi lebih dinamik."

Dalam masa yang sama, pemuda kelahiran Senai, Johor itu sedar bahawa pasukan Liga Perdana itu tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya meskipun mengintai tiket ke Liga Super musim depan. 

Kelmarin, beliau menempelak pemain tertentu kerana mensia-siakan peluang mencipta kemenangan ke atas Selangor II apabila dengan lantang sedia merombak keseluruhan pasukan sejurus perlawanan di Stadium MBPJ itu. 

Namun, kehadiran nama besar bukan jaminan sebaliknya akan memberi fokus kepada aspek pembangunan memandangkan keutamaanya ketika ini ialah membebaskan pasukan kendalian Yusri Che Lah itu daripada hutang setinggi RM6.8 juta. 

"Buat masa ini skuad pembangunan Kelantan masih dibawah kendalian KAFA. Tapi kami kena bagi peluang kepada pemain baru.

"Tetapi apa paling penting, kami perlu selesaikan isu tunggakan gaji bekas pemain sebelum 15 September (Selasa depan).

"Nampaknya peguam kami sedang bekerja keras, hari ini mereka telah menghubungi bekas-bekas pemain supaya masalah-masalah berkaitan dengan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) wajib diselesaikan. 

"Kami sasarkan sebelum November ini, kesemua hutang dapat diselesaikan."

Bahkan, sebanyak 30 peratus saham TRW juga akan dibuka kepada penyokong negeri itu sekiranya ia mula dipasarkan di Bursa Saham kelak. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment