Selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, mula merasai bahang mengenai kedudukannya, sekali gus mengisytiharkan misi wajib menang dalam perlawanan Liga Super menentang PDRM di laman sendiri malam esok.

Rentetan kekalahan demi kekalahan bukanlah sesuatu yang biasa buat pasukan handalan seperti TFC dan situasi itu meletakkan pengendalinya, Nafuzi, berada dalam keadaan sukar apabila terdapat desas-desus bahawa kedudukannya ketika ini sudah mula terancam.

Skuad Peteh itu kini berada di tangga keenam dengan 10 mata selepas tewas kepada UiTM FC, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) dan Melaka United dalam tiga perlawanan terakhir

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, jurulatih berusia 41 tahun itu berkata: "Itu adalah lumrah dalam bola sepak. Kalau tewas sebanyak tiga kali berturut-turut, mungkin akan ada tekanan tetapi itu perkara biasa dan itu sudah memang kerja saya.

"Walau apa jua kekalahan memang saya akan bertanggungjawab.

"Apa yang penting adalah pemain dapat meningkat, sedar, menikmati dan berpuas hati dengan sesi latihan dan perlawanan mereka.

"Selagi khidmat saya diperlukan, selagi itu saya akan berada di Terengganu.

"Kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Kami sudah mencuba tetapi kadang-kala ia tidak memihak kepada kami.

"Tetapi selagi saya berada di sini, kami sememangnya memerlukan kemenangan," katanya.