Pengendali baru Sri Pahang FC, Thomas Dooley, percaya peningkatan mutu komunikasi antara dirinya dan pemain perlu ditingkatkan lagi bagi memastikan pendekatan permainannya dapat diterjemahkan dalam pasukan.

Pengendali kelahiran Jerman itu telah dilantik awal tahun ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2021.

Bekas kapten skuad Amerika Syarikat 1994 dan 1998, itu telah melewati sesi latihan bersama skuad Sri Pahang dan yakin pendekatannya dapat diterapkan dalam pasukan jika mutu komunikasi antara dirinya dan pasukan dapat dipertingkatkan.

"Saya telah beraksi selama 20 tahun sebelum ini, setiap pemain akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan corak pendekatan saya dan komunikasi antara saya dan pemain-pemain perlu menjadi perkara yang sangat penting.

"Kami telah menjalani latihan sejak 10 hari yang lalu dan ketika ini boleh saya katakan ia amat memberangsangkan," katanya.