Bukan tidak proaktif tapi lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Itu mungkin pendekatan yang diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

Setakat ini, masih belum ada sebarang ketetapan jelas, bilakah saingan liga akan disambung semula atau masih kekal dengan perancangan awal iaitu sekitar Jun depan.

Tanpa ketetapan mengenai perjalanan liga bagi musim 2020 yang terhenti ekoran wabak koronavirus baru (Covid-19), pelbagai andaian timbul mengenai perkara berkenaan.

Ini termasuklah format pertandingan yang boleh diguna pakai jika liga terpaksa ditangguhkan lebih lama tatkala negara lain sudah mempunyai pelan tersendiri.

"Cara-cara kami mengendalikan liga ini bukan terletak di tangan seorang sahaja.

"Ia perlu melibatkan semua pemegang taruh dalam industri ini tetapi ia (haruslah) melibatkan orang dalam industri bola sepak profesional, bukannya orang luar. Saya minta maaf.

"Pemegang taruh bertanggungjawab terhadap liga. Harap mereka dapat memberikan idea, bukannya hanya mengkritik liga dan pemain atau cadangkan liga ditutup.

"Kami harus mencari jalan tersendiri dan liga mungkin boleh dijalankan dalam tempoh dua tahun bagi menghabiskan liga musim ini," kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan ketika ditemu bual menerusi di atas talian.




Badan pentadbir, MFL, bagaimanapun masih menunggu garis panduan terperinci daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3, 28 April ini, sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

"Setiap tahun kami sudah merancang (perjalanan saingan Liga-M) untuk tempoh semusim, dari awal hingga hujung musim.

"Perancangan kami masih ada lagi (untuk memulakan liga), iaitu bulan ini dan depan selain Jun dan Julai.

"Kalau hujung bulan ini PKP dilonggarkan, mungkin liga boleh bersambung lebih awal," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.