Melaka mengikat dua pemain pertahanan untuk memperkuatkan benteng skuad Sang Kancil bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menerusi kenyataannya berkata pasukan itu menawarkan kontrak kepada pemain kacukan, Curran Singh Ferns, yang beraksi di posisi pemain tengah bertahan dan pertahanan tengah selain mengekalkan khidmat pemain Korea Selatan, Jang Suk Won.

Ferns, 26, kelahiran Darwin, Australia yang mempunyai darah kacukan Malaysia-Australia, memulakan karier profesionalnya pada 2015 bersama kelab Brisbane City FC yang beraksi dalam Divisyen 2 Australia, Liga Perdana Kebangsaan sebelum berhijrah ke Malaysia.

"Terdahulu dia pernah beraksi dalam saingan liga tempatan negara ini dengan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada 2016 sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan untuk dua musim pada 2016 dan 2017.

"Kemudiannya dia menyertai Felda United FC dan menjadi tonggak penting skuad The Fighters menamatkan saingan Liga Super 2017 di tempat ketiga selain membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2017," katanya.

Ferns juga pernah menyertai kelab Thailand, Sukhothai FC, yang beraksi dalam Liga Thai 1 pada 2018 dan 2019 sebelum kembali ke Australia dengan menyertai Port Melbourne SC pada pertengahan musim 2019.

Sementara itu Jang, 30, pemain import Asia dalam skuad bimbingan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, musim lalu turut ditawarkan kontrak lanjutan untuk terus bersama skuad Hang Tuah musim 2020.

"Kami berharap dengan kemasukan kedua-dua pemain ini mengekalkan prestasi terbaik dan membantu Melaka United dengan pengalaman yang ada bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan dalam semua pertandingan musim depan," katanya.

-- BERNAMA