Sesi latihan fasa satu Liga Malaysia (Liga-M) mungkin boleh bermula lebih awal dari tempoh cadangan yang ditetapkan berbanding September depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, perkara itu sudah diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke arah usaha berkenaan.

"Mungkin ada sinar di hujung terowong yang semakin hampir untuk pasukan memulakan latihan peringkat awal dengan lebih cepat.

"Beberapa minggu lalu, kami ada mencadangkan agar latihan fasa satu dapat dijalankan," katanya.

Dalam masa yang sama, penganjur liga itu juga mempunyai pelan untuk menjana pendapatan pasukan Liga-M menerusi pekeliling baru jika saingan liga bersambung.

Antaranya, mewujudkan replika penonton bagi mewakili pemegang pas bermusim termasuk penjenamaan bangku penyokong dalam usaha menyumbang kepada kemeriahan suasana walaupun tanpa kehadiran penyokong.