Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto meminta penyokong pasukan itu supaya tidak mengecam pemainnya jika tidak beraksi baik, sebaliknya beliau sedia bertanggungjawab jika ia berlaku.

"Saya berkongsi perasaan dengan pemain kerana saya juga lama bergelar pemain, tahap tekanannya adalah luar biasa jadi saya harus mempertahankan mereka.

"Jadi saya harap kalau penyokong tidak puas hati dengan corak permainan pasukan, tolong kecam saya kerana sayalah yang bertanggungjawab dan jangan kecam pemain kerana mereka pastinya akan berjuang 1000 peratus, saya amat mengetahuinya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Baru Dan Pengenalan Pemain Tambadau 2020 di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, legenda bola sepak Indonesia itu mahu anak didiknya fokus sepenuhnya untuk perlawanan pertama Liga Super bertemu PDRM di Cheras.

"Ada orang beritahu PDRM tidak kuat tapi saya selalu mengingatkan pemain supaya tidak meremehkan pasukan lawan.

"Saya juga berpesan kepada semua pemain dan pegawai pasukan supaya menganggap setiap perlawanan seperti final, jadi kami perlu memberikan aksi 100 peratus.

"Bola sepak bukan seperti matematik, bukan seperti satu tambah satu jadi dua kerana dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku tetapi jika kami mengikut segala yang dirancang, selain kerja keras dan semangat tinggi, kami pasti boleh menang," katanya.

Kurniawan juga sudah memiliki bayangan kesebelasan utamanya namun belum mahu mendedahkannya setakat ini.

"Dalam pra-musim lalu, kami telah mencuba semua gandingan pemain dan mencuba beberapa taktik permainan, saya yakin perancangan kami berjalan lancar dan kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk saingan Liga Super," katanya lagi.