Kuala Lumpur berminat sentuhan jurulatih juara Piala AFC 

By Shaiful Shamsudin 29 October 2020 15597
Kuala Lumpur berminat sentuhan jurulatih juara Piala AFC 
Kuala Lumpur dikhabarkan memburu khidmat bekas pakar taktikal yang menjulang Piala AFC 2019. 

Nama Bassem Marmar menjadi sebutan untuk mengemudi The City Boys dalam Liga Super berikutan jurulatih sedia ada, Nidzam Adzha Yusoff, tidak dapat memenuhi syarat wajib Liga Super 2021 yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), iaitu lesen Diploma Profesional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). 

Bassem mengukir namanya sebagai pengendali disegani apabila memacu kejayaan Al Ahed yang berpangkalan di Lubnan tahun lalu. 

"Negeri dari mana tidak penting sangat tetapi sebaik-baiknya dari kawasan Asia.

"Kami tidak mahu membawa jurulatih dari Eropah contohnya dan apabila datang ke sini, dia tidak sesuai dengan cara hidup dan budaya kita. 

"Benda ini perlu diambil kira selain daripada soal gaji kerana peruntukan masih lagi penting," kata Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad. 

 

Jurulatih baru untuk KL bagi Liga Super 2021

Posted by Kuala Lumpur FA on Friday, October 16, 2020


Biarpun tidak kisah dengan sosok yang bakal memainkan peranan utama menerajui pasukan musim depan, Nidzam Adzham masih menaruh harapan agar pengurusan memberi kepercayaan kepada tenaga tempatan yang berwibawa. 

"Saya difahamkan Kuala Lumpur akan ambil jurulatih luar. Saya bersedia dan akan cuba sesuaikan diri dengan secepat mungkin.

"Tetapi saya menyarankan KLFA melantik jurulatih tempatan sebab dia lebih mengetahui kita, pemain dan corak permainan Liga Malaysia," kata bekas pemain dari Perak itu.

Jurulatih berpengalaman seperti Irfan Bakti Abu Salim, dan Abu Bakar Fadzim dipercayai antara calon paling sesuai.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment