Penyerang import Felda United, Khairul Amri Mohamad Kamal, mengakui terbeban untuk mempamerkan aksi luar biasa bagi menamatkan penantian mata pasukannya menjelang pertemuan Liga Super dengan Melaka di Stadium Tun Abdul Razak malam ini.

Setakat dua perlawanan musim ini, skuad The Fighters itu masih gagal meraih sebarang mata dan Khairul Amri berasakan sudah sampai masanya untuk dia memainkan peranannya untuk mengubah situasi itu.

"Saya menggalas beban yang sama dalam setiap kelab yang saya sertai.

"Tetapi saya tidak mahu memikirkannya dan hanya melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Kami tidak mahu kehilangan mata di Jengka untuk terus bersaing dan kekal dalam Liga Super.

"Jadi, kami perlu menang di laman sendiri.

"Melaka kini berada di kedudukan teratas, namun ia baru dua perlawanan," katanya.