Ketua jurulatih Selangor, Karsten Nietzel, berpandangan kemenangan sulung bagi saingan Liga Super semalam ke atas Pahang merupakan hasil usaha sebuah pasukan yang beraksi cemerlang.

Pertembungan musuh tradisi Selangor-Pahang, gagal cetus suasana luar biasa, ia jelas dibuktikan dalam minit awal lagi, Selangor lebih menguasai permainan berbanding Pahang yang nampaknya sukar memanfaat peluang.

Walaupun pemain import Oliver Buff mencetak dua jaringan, namun Nietzel tidak mahu mengangkat pemain itu sebagai wira dalam aksi 90 minit semalam sebaliknya menegaskan ia adalah usaha sama sebuah pasukan.



"Anda memerlukan pemain yang mampu menghasilkan keputusan dan ia terhasil menerusi Buff tetapi terdapat pemain lain yang turut berusaha mendapatkan jaringan dalam perlawanan ini," katanya.

Barisan kendalian Thomas Dooley berusaha untuk bangkit, namun ia belum cukup untuk menyamai kelebihan Selangor.

Dooley mengakui barisan pemainnya masih kekok dengan beberapa perubahan posisi selain kondisi kurang cergas melibatkan lima pemain utama menghantui Pahang sepanjang permainan.

"Kami telah berusaha tetapi tidak berhasil. Kombinasi kami kurang cemerlang dan beberapa hantaran gagla disempurnakan dengan baik," kata Dooley.