Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, optimis untuk menggalas misi mempertahankan gelaran Liga Super walaupun skuad Harimau Selatan itu kekurangan seorang penjaga gol untuk mengharungi baki perlawanan musim ini.

Nasib malang menimpa JDT apabila kehilangan penjaga gawang utama, Farizal Marlias.

Farizal dikenakan hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan kesalahannya mengasari pengadil perlawanan dalam aksi Piala AFC, Mei lalu,

Justeru, tugas itu ditinggalkan kepada Izham dan pemain muda, Haziq Nadzli, maka secara tidak langsung menjadikan kudrat Izham bakal ditagih sepenuhnya.

"Amat dukacita apabila rakan saya, Farizal, tidak dapat meneruskan aksi bersama JDT.

"Tetapi, saya dan Haziq perlu meneruskan perjuangan dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

"Apa sahaja yang terjadi, JDT perlu memenangi Liga Super," katanya.

Apapun, perayaan Aidilfitri kali ini membawa keistimewaan tersendiri buat Izham yang juga merupakan anggota skuad Harimau Malaya.

Ini kerana, tahun ini adalah kali pertama dia beraya bersama keluarga baru selepas mendirikan rumah tangga, Januari lalu.

"Suasana Hari Raya kali ini agak kekok bagi saya.

"Sebelum ini, saya hanya tahu balik beraya di kampung halaman keluarga sendiri.

"Dengan penyatuan dua keluarga, ia sesuatu yang baru buat saya tempuhi sebagai suami dan keluarga baru.

"Insya-Allah, hari raya disambut lebih meriah."