Liga Malaysia musim ini masih belum bermula tetapi nampaknya sudah ada perang psikologi.

Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, yakin pasukannya kini lebih kuat untuk merebut kejuaraan Liga Super berdasarkan faktor "skuad besar" bagi musim 2021.

Kelibat JDT pastinya menghadirkan rasa gerun buat pencabar utama mereka menjelang sepak mula Liga Super pada 5 Mac ini apabila juara tujuh kali berturut-turut itu mempunyai skuad besar yang dipenuhi pemain lebih ampuh musim ini.

Ia menyaksikan kekuatan kesebelasan utama mereka seimbang dengan barisan pemain simpanan atau dalam erti kata lain, skuad Harimau Selatan itu memiliki 30 pemain terbaik yang mampu mengisi kesebelasan utama.

"Sudah pasti saya perlu katakan (kami) amat kuat kerana saya jurulatih mereka dan perlu memberikan alatan terbaik bagi membimbing pemain mendapatkan prestasi yang baik," kata Mora kepada JDT TV.

"Jadi saya fikir setiap tahun kami perlu memikirkan bahawa kami lebih kuat. Kami mempunyai banyak motivasi untuk ke ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan sudah pasti untuk mempertahankan gelaran Liga Super -- ia akan dilalui dari satu perlawanan ke satu perlawanan, minggu ke minggu. Sudah pasti kami akan mengusahakannya dan saya fikir kami akan menjadi pasukan yang kuat."

Persaingan paling sengit semestinya di posisi sayap kanan membabitkan Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan Mohamadou Sumareh memandangkan ketiga-tiga pemain itu memiliki kualiti permainan yang tersendiri.

Begitu juga di bahagian tengah apabila lapan pemain perlu merebut tiga tempat dalam sesuatu perlawanan ketika kepulangan Safiq Rahim cukup dinantikan oleh peminat setia pasukan Merah Biru itu.

"Dia (Safiq) telah memberikan banyak keceriaan buat penyokong dan pasukan ini.

"Selagi dia mahu menjadi pemain JDT dan membantu pasukan ini dengan cara yang baik, sudah pasti dia sentiasa dialu-alukan. Dia pemain yang hebat.

"Dia juga berlatih dengan amat baik dan sudah pasti akan menjadi satu aset buat JDT," tambahnya.