Keputusan membolehkan sesi latihan normal bermula 15 Julai disambut baik semua jurulatih, namun terdapat gesaan daripada jurulatih pasukan untuk merombak semula jadual atau sebaliknya daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Sebaik sahaja pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan sesi latihan normal boleh bermula 15 Julai ini, ramai yang berpendapat pihak MFL perlu bertindak segera untuk penggubahan jadual.

Ia antara perkara utama yang perlu segera diketahui pasukan, bagi memastikan persediaan mereka, bukan sahaja berkisar di atas padang latihan, malah turut melibatkan perancangan aksi persahabatan.

"Saya berasakan perlu untuk mengeluarkan jadual bagi kami melihat jurang di antara perlawanan bagi membenarkan kami membuat persiapan," kata jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzhar Yusof.

Jika ada ura-ura untuk mengawalkan saingan liga bermula 1 Septermber, ia juga dianggap tidak relevan.

Memandangkan ada pasukan yang terlewat memulakan latihan, ekoran penetapan prosedur dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan.

Jika ia berlaku, risiko kecederaan pemain amat membimbangkan pihak pengurusan dan jurulatih.

"Kalau boleh, sekurang-kurangnya kami tahu bila tarikh tetap saingan Liga M akan bermula. Kerana terdapat pasukan yang masih belum menjalani latihan lagi dan mungkin ia akan mendatangkan masalah sebagai contoh risiko kecederaan," kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh.