Keputusan kerajaan melanjutkan perlaksanaan Perintah Lawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April depan memberi bayangan hasrat untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung pada Jun depan semakin samar.

Lanjutan PKP itu sebagai menyahut saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk tidak menamatkannya dalam masa terdekat bagi mengelak penularan semula pandemik novel koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Bagaimanapun, satu keputusan jelas perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit, khususnya pemotongan gaji dengan mengadakan perbincangan di antara pengurusan pasukan dan pemain seperti yang ditegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, FAM, yang mengambil kira saranan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menyenaraikan tiga langkah yang perlu diambil oleh pasukan yang berdepan isu pemotongan gaji.

Dalam masa sama, Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) pula sedia mengambil peranan seperti yang dicadangkan itu satu kenyataan yang dikeluarkan.



Timbalan Presiden PFAM, Shahrom Kalam, menafikan mereka menghalang barisan pemain untuk berbincang tentang keputusan pemotongan gaji, malah badan induk menggalakkan setiap pasukan mengadakan perbincangan serta mencari kata sepakat.

"PFAM ingin tegaskan, kami bukan hanya mewakili pasukan Liga Super dan Liga Perdana, malah melibatkan pemain profesional seperti dalam saingan Liga M3.

"Sebab itulah (sebelum ini) kami berpendirian menolak (langkah) pemotongan gaji ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, menegaskan campur tangan PFAM amat penting dalam menyahut saranan FIFA terhadap isu gaji dan kontrak pemain.

Jika ada kekangan dalam kesanggupan PFAM untuk membantu tatkala semua pihak terjejas akibat pandemik itu yang sudah menjangkiti lebih sejuta orang, ia akan menambahkan lagi kekusutan dalam usaha FAM dan badan pengelola tersebut menangani isu berkenaan.

"Sekiranya kami tidak dapat kerjasama, kami akan berdepan satu lagi masalah.

"Kami tidak mahu ada masalah di dalam masalah.

"Kes yang berlaku adalah disebabkan Covid-19 tetapi (kelak) timbul masalah lain.

"Walaupun ada yang pandangan dengan mengatakan adalah tidak adil gaji pemain dipotong, tetapi saya harap ia boleh diteliti berdasarkan perkara apa yang sedang berlaku," katanya.

Lanjutan dua minggu PKP yang memasuki tahap tiga seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menunjukkan MFL kini hanya tinggal satu sahaja lagi pilihan tarikh untuk menyambung saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang tertunda, iaitu 1 Jun depan.

Bagaimanapun, sudah ada perubahan segera yang telah dilakukan peneraju liga tempatan itu, namun ia masih di peringkat perbincangan sekiranya pandemik berkenaan berlanjutan sehingga dua bulan lagi.

"Kami sebenarnya ada tiga tarikh yang lain, iaitu bulan depan, Jun dan Julai.

"Itulah perancangan kami.

"Nampaknya bulan depan memang tiada (liga dianjurkan)."