Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias, mengidamkan rekod lebih baik daripada musim 2018.

Dalam Liga Super 2018, JDT menamatkan musim dengan rekod bolos paling rendah dengan benteng terakhir mereka hanya dibolosi sebanyak sembilan kali.

Farizal mahu mengulangi kecemerlangan itu, namun berharap musim ini dapat diakhiri dengan catatan yang lebih baik berbanding dua tahun lalu.

"Saya harap dapat mengulangi pencapaian pada 2018 di mana kami bolos kurang daripada 10 gol.

"Tetapi dalam bola sepak, kita tidak tahu.

"Jadi, saya hanya memberikan yang terbaik di dalam dan di luar padang," katanya.

UiTM muncul pasukan pertama membolosi gawang JDT ketika tewas 1-2 di Stadium Sultan Ismail, Sabtu lalu.

Menjelang perlawanan di antara JDT dan PDRM di Stadium KLFA malam ini, Farizal menegaskan keperluan untuk pasukannya tetap berhati-hati dengan pasukan bukan pilihan seperti itu.

"Kita tahu PDRM sedang mengalami masalah, jadi peluang yang ada perlu digunakan sepenuhnya.

"Jangan terlalu ambil mudah kerana mereka juga inginkan kemenangan, jadi kami perlu berhati-hati," tambahnya.