Di sebalik keputusan kerajaan untuk membenarkan pertandingan yang melibatkan sentuhan kembali beraksi pada 15 Ogos depan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum membuat keputusan kerana memerlukan penelitian sebelum memutuskan tarikh sebenar aksi Liga Malaysia (Liga-M) bersambung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abd Ghani Hassan, adalah penting buat badan pentabir Liga-M itu melihat tahap kesediaan dan persiapan pasukan bagi muktamadkan perkara berkenaan.

"Kami amat lega atas kebenaran kerajaan.

"Kami perlu melihat semula bahagian-bahagian teknikal terutama keadaan padang, pemain dan pasukan.

"Ada pasukan yang meminta untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum mereka menghadapi liga," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal.

MFL mahu memberi peluang kepada semua pasukan untuk bersedia terlebih dahulu bagi mengelakkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

Jadual saingan tempatan mungkin kekal bersambung pada 1 September depan menerusi format baru yang akan ditetapkan MFL.

Namun, tidak mustahil sekiranya liga kembali menemui peminat bola sepak tanah air 15 Ogos depan jika ia mendapat permintaan majoriti pasukan yang bertanding.

Setakat ini, satu pasukan daripada Liga Super, iaitu PDRM selain tiga pasukan Liga Perdana; Kelantan, UKM FC dan Sarawak United, masih belum mendapat kebenaran untuk kembali berlatih kerana tidak melengkapkan beberapa dokumen yang ditetapkan oleh MFL.

Dalam masa itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan keputusan kerajaan hari ini sebagai perkara positif untuk persiapan skuad kebangsaan.

"Sebelum ini, ada perbincangan awal yang melibatkan FAM dengan Unit Pertandingan MFL.

"Kami memberikan tempoh sehari dua lagi kepada unit-unit ini membuat penetapan terakhir selain meminta pandangan dan pendapat daripada ketua jurulatih negara, Tan Chen Ho, untuk kesesuaian pasukan kebangsaan sebelum kami membuat keputusan terakhir," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.