Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat keputusan seiring dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pendekatan itu adalah supaya tiada pertindihan jadual di antara kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.

1 Jun dilihat tarikh paling sesuai untuk saingan liga tempatan kembali ke kancah Liga-M selepas kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April ini.

Bagaimanapun, jika Liga-M disambung semula pada tarikh itu, ia akan memberi tekanan kepada pihak MFL dan FAM yang kesuntukan masa apabila cadangan kalendar FIFA yang baru dijadualkan pada September, Oktober dan November depan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, perkara itu perlu mempunyai perbincangan lebih awal di antara kedua pihak supaya tiada pertindihan jadual yang bakal menimbulkan masalah pelepasan pemain.

"Kami sudah amalkannya sejak dua tahun lalu.

"Apa yang kami hadapi ketika ini bukan mudah jadi perbincangan di antara FAM dan MFL sentiasa penting untuk memastikan (pengisian slot) kalendar itu dapat dilakukan bersama-sama bagi memastikan saingan tempatan tidak bercanggah dengan peringkat antarabangsa.

"Akan ada masalah kalau tidak ada perbincangan awal dan dengan langkah ini, ia boleh dielakkan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly, hari ini.