Susulan pengumuman penarikan diri pasukan Felda United daripada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, nama Rakyat United tiba-tiba menjadi buah mulut peminat bola sepak tanah air selepas pasukan baru itu dikatakan ditubuhkan demi menggantikan skuad The Fighters berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak semudah itu memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beranggapan kewujudan pasukan baru itu masih belum sah.

Pihak pengurusan Rakyat United dilaporkan telah menghantar dokumen bagi mendapatkan lesen untuk beraksi dalam Liga M -- sebagai pasukan yang dijenamakan semula daripada Felda United.

Bagaimanapun, FAM menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, menganggap kewujudan pasukan itu masih belum sah kerana semua dokumen yang dihantar itu perlu diperhalusi terlebih dahulu.

"Pasukan Rakyat United belum sah lagi dan terdapat banyak khabar angin mengenai status pasukan itu dalam liga tempatan tetapi buat masa ini, masih tiada kedudukan rasmi buat Rakyat United," katanya kepada Nadi Arena.

"Ia disebabkan jika mereka mengambil alih Felda United sekalipun, status Felda United juga masih belum diluluskan.

"Jadi, saya rasakan adalah terlalu cepat untuk menggerakkan projek Rakyat United ini," katanya.

Rakyat United percaya bahawasanya ramai rakyat Malaysia yang mempunyai jiwa bola dan ingin melakukan perubahan untuk...

Posted by Rakyat United on Saturday, 17 October 2020


Stuart turut menegaskan bahawa keputusan sama ada nama Felda United akan dikekalkan atau dijenamakan semula terletak di tangan badan pentadbir, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"MFL ada kuasa terhadap semua pemegang taruhnya, iaitu semua ahli dan pasukan dalam liga.

"Sebagai badan pengelola Liga Malaysia, mereka mempunyai kuasa untuk bertanya dan memastikan proses penjenamaan semula atau pengambilalihan itu dijalankan secara betul," tambahnya.

*Kredit foto: Rakyat United