FAM elak campur tangan siasatan FIFA kes Sumareh

By Shaiful Shamsudin 28 October 2020 2306
 FAM elak campur tangan siasatan FIFA kes Sumareh
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk tunggu dan lihat berhubung isu Mohamadou Sumareh meskipun tonggak itu berstatus pemain tempatan.

Pemain kelahiran Gambia itu lesap di kem Pahang sejak Julai lalu atas dakwaan masalah gaji dan penghijrahan kontroversinya ke kelab liga Thailand, Police Tero, bagaimanapun sah selepas dia mendapatkan pelepasan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mendapati Sumareh bersalah dalam empat pertuduhan seperti yang dinyatakan sidang media Jawatankuasa Tatatertib PBNP semalam, sekali gus digantung dua tahun.

Mengulas tindakan daripada pasukan Tok Gajah itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam temu bual bersama wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly, menjelaskan mereka mengambil pendekatan menunggu keputusan daripada badan induk dunia terlebih dahulu berhubung kes itu. 

""Perkara ini sedang disiasat di peringkat FIFA. Seperti yang FAM nyatakan sebelum ini bahawa kami sedang menunggu keputusan daripada FIFA. 

"Kami tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh bercanggah dengan badan induk dunia.

"Kes ini di antara dua pihak, Sumareh dan Pahang. 

"FIFA tidak meminta sebarang dokumen daripada FAM dan kami pula tidak terlibat dalam kes ini," katanya di Wisma FAM hari ini. 

Sumareh pula menghantar satu mesej pesanan ringkas kepada Nadi Arena berbunyi: Saya tidak faham kenapa PBNP menggantung pemain yang tidak lagi bersama mereka. 

"Perkara ini sangat mustahil." 

Isu ini  mirip kepada kes Dollah Salleh yang pernah mengalami nasib sama apabila Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) ketika itu menggantung bekas pemain kebangsaan berkenaan selama tiga tahun pada 1988, namun dikurangkan kepada enam bulan.

Ketika itu, hukuman tersebut hanya diiktiraf di Johor sahaja, di mana Dollah tidak dibenarkan beraksi bersama negeri berkenaan dan juga tidak boleh beraksi ketika Selangor menentang Johor di Johor Bharu.



 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment