Kehampaan jurulatih Pahang, Dollah Salleh, bersambung di Stadium UiTM Shah Alam.

Masih dilanda masalah fokus pemain pada hujung perlawanan, Tok Gajah sekali lagi berputih mata tanpa sebarang kutipan mata musim ini.

Jika aksi dengan Selangor yang lalu, pasukan Pantai Timur itu dikejutkan dengan jaringan Brendan Gan pada minit 88, jalan cerita hampir sama berlaku malam tadi.

Ironinya, penjaring kepada kemenangan PJ City itu dilakar bekas pemain Pahang, R Kogileswaran.

Jaringan pada minit 90 itu menyentap hasrat pelawat untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas hampa di laman sendiri minggu lalu.

"Itulah, saya berasa agak kecewa.

"Walaupun bermain cantik sekalipun tetapi jika tidak menang, orang akan mempersoalkan (kemampuan) kami.

"Dua perlawanan tanpa sebarang mata, situasi ini agak kritikal," kata bekas jurulatih kebangsaan itu kepada wakil Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom, selepas perlawanan malam tadi.



Lain pula nada daripada rakan sejawatannya, K Devan. yang sudah pasti lega dengan kejayaan pasukannya itu meraih tiga mata pertama musim ini.

Devan melihat peningkatan positif barisan pemainnya terutama melibatkan keserasian pemain import, Aboubacar Demba dan Washington Brandao.

"Mereka saling menyumbat gol dan membuat bantuan jaringan.

"Mereka akan terus meningkat dan saya berasakan kami akan mempunyai gandingan penyerang yang baik," katanya.