Menjaringkan gol sulung untuk pasukan negeri kelahiran satu memori yang luar biasa.

Tetapi buat pemain tengah Pahang, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, jaringan kemenangan Tok Gajah ketika menewaskan Kedah 2-1 dalam aksi Liga Super di laman sendiri, malam tadi, adalah satu anugerah terindah untuk ibunya, Raja Sharifah Raja Ali.

Selepas empat penampilan dalam kesebelasan utama, Nik Sharif, mula menampakkan sosok sebenarnya sebagai bintang dalam pembikinan.

Jaringan kemenangan yang dihasilkan menerusi gelecekan memukau dan disudahkan dengan tenang di sebalik asakan benteng Lang Merah, ia gerakan persis seorang pemain berpengalaman.

"Dia sebenarnya mempunyai keistimewaan.

"Dia mungkin masih muda lagi dan keyakinannya belum mencapai tahap yang diharapkan tetapi dalam sesi latihan, dia menyerlah," kata jurulatih, Dollah Salleh.

? KEDUDUKAN CIMB LIGA SUPER - PUSINGAN LS9 #ForwardFootball #BangkitSemangatBola #CIMBLigaSuper2020

Posted by Malaysian Football League on Saturday, September 26, 2020


Sebelum gol Nik Sharif itu, Kedah terlebih dahulu membuka tirai jaringan sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Adam Reed dalam babak pertama.

"Saya bersyukur sangat, malam ini mungkin rezeki saya, berkat doa emak saya. Tidak terungkap betapa gembiranya saya kerana emak sudah lama menunggu untuk saya menjaringkan gol.

"Dia bergantung harap kepada saya memandangkan sebagai pemain bola, jadi saya satu-satunya yang dapat bantu keluarga.

"Ia menjadi motivasi buat saya terus berusaha.

"Dollah hari-hari ingatkan saya supaya menggunakan kelebihan yang ada dan Alhamdullih saya akhirnya sedar," katanya.

Keputusan itu bermakna berakhirnya rentetan lima kemenangan anak buah Adil Sharin Sahak termasuk impian mencabar kejuaraan Liga Super.