Penyerang Perak, Guilherme De Paula, kini akhirnya secara rasmi bergelar pemain naturalisasi ketiga bagi skuad Harimau Malaya.

Perkhabaran itu telah dimaklumkan Perak FC menerusi kenyataan ringkas dalam media sosial mereka sambil menjelaskan De Paula akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.


Pemain kelahiran Brazil itu membuat penampilan sulung dalam kancah liga bola sepak Malaysia pada 2015 bersama Selangor sebelum berkelana ke PDRM serta Kuala Lumpur.

Pemain berusia 34 tahun itu kemudian menandatangani kontrak bersama pasukan Perak sejak tahun lalu yang bersaing dalam Liga Super.

De Paula kini mengikut jejak langkah Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi untuk bergelar pemain naturalisasi sekaligus bakal memperkuatkan skuad kebangsaan selepas ini.

Imej: FB Perak FC