Kapten Pahang, Matthew Davies, hampa dengan kegagalan pasukannya meneruskan kutipan tiga mata menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur, kelmarin.

Davies nyata kecewa dengan kegagalan Pahang menyempurnkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila membiarkan Selangor mencuri satu mata.

Dia menegaskan Pahang seharusnya kekal dengan rentak kemenangan selepas menumpaskan dua pasukan gergasi seperti Kelantan dalam Liga Super dan Johor Darul Takzim (JDT) bagi saingan Piala FA, baru baru ini.

"Saya menjangka perkara positif, untuk kami kuat di laman sendiri dan penyokong berada di belakang kami. Seperti yang saya katakan, ia satu kekecewaan kerana kami gagal menang dan mengutip tiga mata."

Davies menyumbang satu gol pembukaan Pahang untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Sementara itu, kapten Selangor, Razman Roslan, turut kecewa kerana gagal menewaskan Pahang walaupun dua kali mendahului bekas pasukannya itu.

"Bagi saya, ia sedikit mengecewakan sebab kami melepaskan gol pada minit-minit akhir," katanya. "Tetapi apa yang saya puji adalah komitmen daripada pemain yang telah memberikan 100 peratus.

"Bukan mudah bagi kami bermain di sini. Pun begitu, satu mata amat berharga dan penting untuk kami"

Razman, yang mengakui sudah biasa dengan keadaan padang dan suasana di Stadium Darulmakmur, memberikan kelebihan untuk dia membantu Selangor sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

Pertemuan Razman dan Davies di bilik sidang media menunjukkan keakraban dua pemain berkenaan yang sememangnya rapat sejak Daview menyarung jersi Pahang tiga musim lalu dan Razman adalah kapten Pahang ketika itu.