Pertahanan veteran Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, berasakan dirinya belum berada di tahap terbaik selepas kembali diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama ketika The Red Warriors terikat 1-1 menentang Felda United dalam Liga Super, Sabtu lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu jarang diturunkan sejak kembali ke pangkuan Kelantan tahun lalu selepas dua musim bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kecederaan beberapa pemain di posisi pertahanan kanan membuka peluang kepada Daudsu yang beraksi baik membantu pertahanan Kelantan menyekat rangkaian serangan Felda.

"Bagi saya, apabila kita bekerja sebagai satu pasukan, ia nampak lebih teratur dan susah untuk dibolosi, sebab apa yang kami buat dalam latihan, kami terjemahkan dalam perlawanan.

"Apabila ada usaha, membantu satu sama lain, ia membantu pasukan untuk tidak dibolosi dengan mudah," katanya.

Hanya bolos satu gol kepada Felda, satu peningkatan ketara berbanding beberapa perlawanan sebelum ini, dan Daudsu menjelaskan ia berpunca daripada kekuatan semangat berpasukan.

Justeru, dia berharap momentum sama akan diteruskan dalam tiga lagi baki perlawanan Liga Super yang akan menjadi penentu masa depan mereka dalam saingan itu.

"Syukurlah. Sebenarnya, kami mahu lari daripada zon penyingkiran. Kami sasar tiga mata tetapi dapat satu mata. Kiranya satu mata sudah baik daripada tiada langsung.

"Bagi saya, setelah lama tidak beraksi, sudah dekat dua tiga bulan, ini perlawanan pertama (saya), saya tidak berpuas hati. Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, kecergasan dan sebagainya," tambahnya.