"Ada hikmah di sebalik penangguhan Liga Malaysia."

Itu reaksi pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham, apabila keadaan semasa memastikan dirinya tidak terlepas banyak perlawanan musim ini.

Danial Amier terlepas empat perlawanan pertama Liga Super musim 2020 kerana menjalani pembedahan tulang metatarsal kaki kanan, awal Februari lalu.

Dia terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua bulan sebelum kembali beraksi dan pemain tengah negara itu dijangka terlepas banyak perlawanan.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu berada dalam situasi sebaliknya ketika ini susulan saingan liga domestik ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID-19.

"Perkara positif yang diraih susulan penangguhan liga akibat wabak ini adalah saya tidak terlepas terlampau banyak perlawanan tetapi saya berharap telah pulih apabila tamat perkara ini," katanya.

Ini merupakan musim ketiga berturut-turut Danial Amier terlepas beberapa perlawanan liga gara-gara mengalami kecederaan metatarsal.

Dia berharap pembedahan yang dilakukan tidak lagi dibelenggu masalah yang sama dan kini tidak sabar untuk beraksi semula.

"Apa yang membuatkan saya lebih positif adalah melihat perkembangan permainan Felda. Apa yang dilakukan oleh jurulatih dan pemain. Saya memang tidak sabar untuk beraksi semula. Apabila memperoleh nikmat bermain, saya akan gunakan sebaik mungkin."