Pemain tengah Felda United, Curren Singh Ferns, berasa bangga apabila mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan, yang secara tidak langsung menaikkan kembali keyakinan dirinya selepas tenggelam ketika bersama Negeri Sembilan.

Curren adalah salah seorang pemain berdarah campuran dengan ibunya berasal dari Malaysia sementara ayahnya dari Australia dan dia mula diambil Johor Darul Ta'zim (JDT) II musim lalu.

Dia dijangka mampu menyinar di Negeri Sembilan pada awal musim ini, namun gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama, sekaligus membuatkannya bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan Sathianathan yang mendapatkan khidmatnya.

“Musim lalu saya gagal menyerlah dan tahun ini di Negeri Sembilan saya bermain enam hingga tujuh perlawanan dan kami menang kesemuanya. Saya menghadapi masalah kecederaan, namun pasukan terus catat kemenangan. Kemudian peluang hadir untuk saya ke Felda United dan saya menerimanya,” kata Curren.

Mengenai aksi bersama skuad negara, pemain berusia 24 tahun itu menganggap tiada jalan pintas buat mana-mana pemain kacukan untuk disenaraikan dan dia sedar perlu menampilkan aksi terbaik.

“Saya fikir Felda United adalah pilihan yang baik. Secara jujur, Sathianathan adalah jurulatih yang tepat buat saya. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan perkembangan karier saya kini banyak dibantu olehnya.”