Covid-19: Pasukan perlukan tempoh persediaan 

By Shaiful Shamsudin 26 March 2020 73
 Covid-19: Pasukan perlukan tempoh persediaan 
Penganjuran saingan Piala Malaysia musim ini sekali lagi menjadi persoalan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penundaan bermula pertengahan bulan ini akibat penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Masih belum ada bayangan bilakah saingan Liga Super dan Piala FA akan kembali bersambung.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan tiga tarikh kemungkinan bermula pada 1 April, namun lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April depan secara jelas telah melanggar tarikh pertama yang dinyatakan pengelola liga tempatan itu.

Jika 1 Mei depan menjadi sasaran untuk kemungkinan seterusnya, pihak penganjur juga perlu memberi ruang kepada pasukan untuk membuat persiapan sebelum memulakan saingan kompetitif.

Ia meliputi persediaan pemain daripada segi kecergasan selain hal hal logistik yang perlu dilakukan pihak pengurusan yang memaksa tarikh 1 Jun adalah tarikh yang paling sesuai.

Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada status semasa pendemik itu.

"Saya berasakan saingan mungkin boleh disambung selepas Hari Raya Aidilfitri," kata bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Barisan pemain Liga Super, antaranya pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak, dan penyerang PJ City, Safee Sali, menganggap situasi itu tidak dapat dielakkan dan mereka hanya menunggu arahan lanjut daripada Kerajaan Malaysia.

"Kami agak terjejas kerana liga baru sahaja bermula.

"Ada pasukan berada dalam prestasi terbaik dan mungkin ada di pertengahan.

"Apabila liga diberhentikan, mungkin prestasi dan latihan kami terbantut, kami tidak boleh membuat aktiviti sepasukan dalam bola sepak," kata Aidil. 

Safee pula berpandangan: "Kami tidak wajar untuk mengatakan bilakah liga akan dijalankan semula. 

"Kita harus menunggu arahan daripada Kerajaan Malaysia."


 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment