Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersetuju memanjangkan tempoh penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) ke satu tarikh baharu akan ditetapkan kemudian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM berkata, penangguhan itu meliputi kesemua pertandingan dan aktiviti di bawah kelolaan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selaku badan pentadbir Liga-M, susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Ia termasuk saingan Liga Super dan Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran, Liga Bola Sepak Amatur, kem latihan pasukan kebangsaan, Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), Piala Presiden, Piala Belia, Liga M3 dan Liga M4.

Hamidin yang juga Presiden MFL turut memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa pihak yang terkesan dengan penangguhan Liga-M, terutamanya kelab, pemain dan pegawai.

"Meskipun keputusan lanjutan penangguhan ini satu keputusan sukar, tetapi keputusan ini harus dibuat demi kepentingan dan keharmonian rakyat, FAM bersama MFL sentiasa mengutamakan rakyat dalam usaha mencegah wabak COVID-19 daripada terus menular, apatah lagi kita mencatat peningkatan jangkitan dalam kalangan masyarakat ketika ini,” katanya.

Pada masa sama, Hamidin yakin segala masalah berkaitan susulan penangguhan Liga M mampu diselesaikan dengan kerjasama daripada FAM, MFL, Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), kelab serta pemain dan pegawai pasukan.

Beliau turut mengambil maklum berhubung dilema dihadapi pasukan bertanding susulan penangguhan Liga-M yang menjejaskan sumber kutipan tiket masing-masing, namun pada masa sama, mereka perlu meneruskan juga pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai.

"Situasi seperti ini bukan kita minta dan tidak dapat dielakkan tetapi apabila ia berlaku, perbincangan dan persetujuan bersama adalah sesuatu perlu dicapai bagi memastikan kepentingan semua pihak dapat dijaga. Sama seperti FAM, kami di MFL sentiasa bersedia untuk dihubungi oleh mana-mana rakan kongsi liga untuk sebarang perbincangan," kata Hamidin.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan FAM dan MFL mengambil maklum berhubung keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang meminda beberapa tarikh penting melibatkan pasukan kebangsaan, selain beberapa perlawanan Liga Juara-Juara yang dipinda dari Februari dan Mac ke Mei dan Jun ini.

Beliau menjelaskan MFL sentiasa berhubung rapat dengan AFC untuk sebarang pemakluman terkini sekiranya terdapat tarikh-tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

FAM dan MFL sebelum ini, mengumumkan bahawa kesemua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka ditangguhkan serta-merta sejak 16 Mac bagi mematuhi PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

-- BERNAMA