Meskipun berdepan penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) tanpa penonton akibat penularan novel koronavirus (Covid-19), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) enggan melatah sebaliknya sudah bersedia dengan pelan alternatif bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim 2020.

Pengelola Liga-M itu menerusi kenyataan media hari ini menjelaskan sebarang keputusan atau pendekatan mengenai perjalanan liga akan dibuat berdasarkan dua perkara.

Pertama, ia membabitkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selesai dan yang kedua, melibatkan garis panduan terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia susulan KKM menggesa supaya masyarakat tidak menyertai sebarang bentuk perhimpunan dalam tempoh enam bulan atau setahun bagi memastikan wabak pandemik itu benar-benar dapat dihapuskan meskipun PKP bakal berakhir tidak lama lagi.

"Ini satu Tatacara Pengendalian Piawai yang perlu diikuti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau MFL kerana kita tidak boleh nampak virus ini yang asing bagi kita.

"Sudah tentu ia menjejaskan kemeriahan bola sepak. Bukan kita sahaja yang mengalaminya, bahkan seluruh dunia," kata pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, kepada wakil Nadi Arena,
Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Seorang penyokong tempatan berpandangan: "Kita masih boleh menonton perlawanan menerusi perlawanan secara langsung. Cuma kita tidak dapat berasakan kegamatan penyokong dan keterujaan ke stadium.

"Tetapi Liga-M boleh dihabiskan kalau semua pihak mengikat saranan kerajaan."