Pemain tengah Selangor, K. Sarkunan, menganggap kehadiran Brendan Gan dalam pasukan itu akan memberikan persaingan sihat untuk membantu menjulang kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Skuad Gergasi Merah itu mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila mendapatkan khidmat Brendan bagi memperkukuhkan jentera tengah mereka.

Namun, ia akan mencabar kedudukan Sarkunan dan Abdul Halim Saari untuk merebut posisi utama dalam skuad kendalian B. Sathianathan itu.

"Bagi saya, ia persaingan yang bagus kerana saya kerap diturunkan musim lalu.

"Jadi, dalam musim baru ini, saya dan Brendan Gan akan merebut tempat di bahagian (tengah) menyerang dan bertahan.

"Ia terpulang kepada jurulatih untuk menentukannya," katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan berasakan 23 pemain yang terpilih untuk mewakili pasukan itu musim depan akan membawa perubahan positif untuk memburu kelayakan dalam Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.

"Realitinya, kami sudah memiliki skuad yang boleh dikatakan mantap.

"Saya harap kami akan membawa pulang satu trofi.

"Tetapi tidak bolehlah tanya trofi yang mana kerana ia boleh disalah tafsir.

"Jadi, ia salah satu daripadanya," katanya.