10 tahun berkelana mencari pengalaman, pemain kelahiran Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak, menganggap musim 2021 adalah waktu paling sesuai untuk dia kembali menabur bakti dengan pasukan negeri kelahirannya.

Bakal memegang tanggungjawab sebagai kapten, Zaquan sempat berkongsi bahawa dia tekad mahu kembali membawa Negeri Sembilan FC ke pentas Liga Super bagi musim 2022.

Bukan bermaksud nama Zaquan Adha sudah semakin hambar, namun kemunculan bekas kapten skuad negara itu dalam saingan Liga Perdana memiliki misi tersendiri.

Sebagai anak jati Negeri Sembilan melihat pasukan sendiri terkandas dalam saingan Liga Perdana dalam tempoh enam musim, membuatkan pemain itu terpanggil untuk membantu.

"Sebelum ini saya bersama Negeri Sembilan sebelum berkelana ke JDT, ATM, Kuala Lumpur dan Perak. Pengalaman yang saya miliki akan digunakan ketika bersama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana," kata Zaquan.

Aksi dalam Liga Perdana bukan perkara baru buat Zaquan, merujuk kepada kelibatnya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II sebelum ini.

"Tujuan saya kembali ke Negeri Sembilan adalah untuk menghadirkan kejayaan kepada pasukan. Sebab mereka sudah lama dahagakan kejayaan."

Dalam masa sama, jurulatih Negeri Sembilan FC K. Devan, menuntut anak buahnya memberi kerjasama yang terbaik dengan Zaquan demi kelangsungan skuad itu musim ini.

"Dia adalah pemain paling senior, anak jati Negeri Sembilan dan pemain yang telah beraksi di peringkat paling tinggi. Dia memiliki sifat kepimpinan dan pemain-pemain sudah pasti akan menghormatinya."

Majlis sesi pegenalan jersi baru Negeri Sembilan FC ditaja jenama tempatan iaitu Kaki Jersi buat julung kalinya dalam saingan Liga Perdana.