Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, mempertahankan pendekatan sistem indeks prestasi utama (KPI) ke atas barisan pemain The Red Warriors musim depan.

Menerusi pembayaran gaji penuh bersyarat, Zamsaham menegaskan kaedah itu dilakukan demi kebaikan pasukan untuk jangka panjang.

Pasukan Pantai TImur itu tidak akan berbelanja besar sewenang-wenangnya untuk mengekalkan barisan pemain bintang buat menghadapi saingan musim depan.

Sebaliknya, pemain The Red Warriors dituntut menepati sasaran ditetapkan jika mahu menikmati imbuhan gaji lumayan.

Lebih mengejutkan apabila ada dalam kalangan mereka masih mempunyai kontrak dan antaranya ialah ketua pasukan, Nik Akif Syahiran Nik Mat; pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni dan penyerang, Danial Ashraf Abdullah.

"Ini kali pertama dalam karier bola. Kalau dapat tiga piala, baru dia (pengurusan) akan bayar penuh akhir tahun itu.

"(Misalnya) kalau gaji (sepatutnya) RM20,000 sebulan, (sebaliknya) kami akan menerima RM6,000 sahaja.

"Jadi ini faktor saya tinggalkan Kelantan sambil mahu mencari pengalaman di luar," kata Danial Ashraf.

Setakat ini, Kelantan mahu mengekalkan kesemua pemain selepas menawarkan lanjutan kontrak kepada mereka.

Namun, Norizam tidak mempunyai masalah jika ada pemain yang berhasrat untuk berhijrah ke pasukan lain.

Mereka hanya perlu mengisi borang persetujuan pembatalan kontrak tanpa sebarang pampasan terhadap pasukan baru pemain terbabit.

"Mereka tidak bersetuju, pada mereka macam mana hendak menang kalau pasukan lemah.

"(Tetapi) itulah tujuan KPI, semua orang perlu menuju ke arah KPI.

"Kalau tidak, kena kad merah dan goyang kaki pun tidak mengapa," katanya.

Pendekatan KPI itu menimbulkan persoalan mengenai kekuatan barisan pemain pasukan berkenaan musim depan.

Begitupun, Norizam bersikap positif terhadap situasi itu dengan mengharapkan pemain bermain demi lencana di dada.

"Sebenarnya saya sudah ada senarai pemain yang saya mahu kekalkan.

"Sebagai pemilik baru, mereka sepatutnya perlu melihat apa yang saya mahu buat kepada kelab, bukannya melompat ke kelab-kelab yang mereka tidak tahu lagi sama ada mereka akan dijaga atau tidak," katanya.

Norizam turut menjelaskan tentang tawaran lanjutan kontrak kepada Yusri untuk terus bertindak sebagai pengendali musim depan.

Bagaimanapun, Yusri telah menolak tawaran itu lalu memaksa Norizam merombak kembali barisan kejurulatihan apabila merancang untuk menggunakan kombinasi luar negara dan tempatan bagi mencapai sasaran seterusnya.

Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali, pula menyeru pengurusan Kelantan berhubung sistem KPI untuk membayar gaji penuh pemain dan jurulatih.

Ini kerana penyerang itu berasakan kaedah berkenaan tidak pernah digunakan oleh mana-mana pasukan di era profesional ketika ini.

"Ada beberapa pemain yang cuba mendapatkan nasihat kami.

"Kami benar-benar terkejut apabila perkara sebegini timbul dalam era profesional," katanya.