Kapten UKM FC, Asnan Ahmad, mengakui bahawwa perbincangan berkenaan pemotongan gaji pemain pasukan itu masih belum dimuktamadkan walaupun pihak pengurusan mereka sudah membuat pendedahan terbuka untuk memotong gaji pemain bermula bulan depan.

Isu pemotongan pemain sedang hangat diperkatakan sejak minggu lalu sehingga mendapat perharian daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Ketika Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) masih bertegas bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, UKM FC selaku pasukan daripada Liga Perdana mengumumkan bahawa mereka akan mengambil pendekatan itu dengan memotong gaji pemain sebanyak 15 hingga 20 peratus bermula bulan depan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak difahamkan masih belum menamatkan perbincangan, terutama melibatkan jumlah pemotongan itu.

"Selagi boleh berbincang dengan pihak pengurusan, kami akan berbincang lagi, kita tengok dulu macam mana.

"Mungkin pemotongan itu tetap ada tetapi kami akan berbincang untuk mengurangkan lagi pemotongan itu," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat UKM FC, Fairus Shafie, berkata bahawa langkah pemotongan gaji itu sudah dimaklumkan kepada pemain sejak awal lagi dan pemain juga sudah memahami kesukaran yang dialami pasukan itu memandangkan liga terpaksa direhatkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

"UKM FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan saya menjangkakan pemotongan 20 peratus itu merupakan jumlah maksimum.

"Jika kami lihat keperluannya hanya memerlukan potongan 5 peratus, kami akan berbincang semula," katanya.