Gagal bertahan dengan baik ketika situasi bola mati antara faktor Felda United kecundang 1-3 kepada Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil, berkata, pemainnya terlalu 'lurus dan naif' ketika bertahan dalam situasi bola mati sehingga dibolosi dua kali menerusi sepakan penjuru.

"Untuk sebuah pasukan profesional, dibolosi dua kali daripada sepakan sudut bukan sesuatu yang baik dan kami kena belajar bagaimana untuk bertahan ketika sepakan penjuru seperti Sabah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu, semalam.

Nidzam berkata, antara faktor lain kekalahan mereka ialah kerana gagal menyekat beberapa pemain lawan.

"Saya puji (Petrus) Shitembi dan Azzizan (Nordin), mereka berdua mencipta banyak idea taktikal di atas padang buat Sabah," katanya lagi.