Pengendali Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal, menyifatkan pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri selepas terikat 2-2 dengan Terengganu di Kuala Terengganu, malam tadi.

Kekecewaan itu diluahkannya selepas menyaksikan mereka gagal mempertahankan kelebihan dua gol gara-gara kesilapan mudah serta kehilangan fokus di penghujung permainan.

Menurut Asri, Negeri Sembilan beraksi lebih baik, terutama dalam separuh masa pertama, dengan dua gol yang mematikan langkah pasukan lawan.

“Tumpuan Terengganu juga sudah dijangka, iaitu penyerang mereka, Kipre Tchetche, namun pemain-pemain saya hilang fokus. Saya tidak boleh menerima keputusan seri ini,” ujarnya.

Turun dengan misi merampas teraju liga, Negeri Sembilan diuji tuan rumah pada minit ke-12 yang menyaksikan percubaan lambung Ismail Faruqi Ashari sedikit melewati pintu gol mereka.

Aksi semakin rancak dengan Negeri Sembilan memperoleh dua peluang daripada Jonathan Behe (m-20) dan Lee Andrew Tuck (m-21) yang sekadar mengenai palang gol Terengganu.

Penyerang kelahiran Perancis, Behe, tidak mensia-siakan kesilapan ketua pasukan Terengganu, Lazaro Vinicious, yang membuat hantaran ke belakang untuk gol pendahuluan Negeri Sembilan pada minit ke-38.

Tiga minit selepas itu, Behe dengan mudah menyambar sepakan penjuru Tuck dan menewaskan Mohd Suffian Rahman buat kali kedua.

Hanya dua minit bersambung dalam separuh masa kedua, Terengganu merapatkan defisit jaringan selepas Tchetche bijak menyambung hantaran pendek Ismail Faruqi.

Keghairahan tuan rumah mencari gol penyamaan hampir dihukum Negeri Sembilan dengan dua situasi satu lawan satu melalui Bruno Suzuki pada minit ke-76 dan 78, namun cemerlang digagalkan Mohd Suffian.

Tchetche menyelamatkan maruah Terengganu apabila memintas tandukan ke belakang Mohd Noor Hazrul sebelum mengatasi penjaga gol lawan untuk menolak masuk bola pada masa kecederaan, sekaligus menyamakan kedudukan 2-2.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, pula dia memuji kebangkitan pasukannya di ambang kekalahan di hadapan hampir 7,000 penyokong sendiri.

Irfan mengakui anak-anak buahnya membenarkan pasukan lawan untuk mendominasi bahagian tengah sehingga dibolosi dua gol pada babak pertama.

Arahannya di bilik persalinan untuk menutup pergerakan tonggak pasukan lawan membuahkan hasil dengan kebangkitan yang ditunjukkan pemain-pemainnya.

“Saya perlu memuji karekter ditunjukkan pemain-pemain dan meskipun seri, kami masih berada di kedudukan dua teratas,” tambah Irfan lagi.