'Saya ambil tanggungjawab ini', itu reaksi daripada bekas jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail sebaik keputusan pengurusan sebulat suara merehatkannya daripada menghabiskan baki aksi Liga Perdana musim ini.

"Keputusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan adalah bertepatan di sebalik kekalahan tiga berturut-turut pasukan dan saya akur dengan keputusan tersebut," kata Zahasmi.

Kekalahan tiga perlawanan berturut-turut membuatkan Zahasmi menyedari dia gagal meyakinkan pihak pengurusan untuk menghabiskan aksi liga yang tinggal.

Kelantan United bermula dengan langkah kanan di awal musim namun menjadi semakin merudum dengan tiga kekalahan berturut-turut menjadi titik permulaan kepada perubahan di peringkat kejurulatihan.

Bagaimanapun, Zahasmi tidak menolak masalah gaji antara punca prestasi pasukan jadi tidak menentu namun dia tetap tidak mahu meletakkan isu itu sebagai perkara utama yang membawa kepada keadaan ketika ini.

"Jika melihat kepada isu gaji, semua pasukan berdepan masalah ini. Sukar untuk saya memberikan sebarang alasan terhadap perkara ini dan menerima keputusan pihak pengurusan."