KAFA bukan tempat untuk raih populariti 

By Bernama 12 August 2020 379
KAFA bukan tempat untuk raih populariti 
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) meminta supaya tiada syarikat atau individu mengambil kesempatan untuk meraih populariti dengan menggunakan media bagi menyatakan minat mengambil alih atau membeli persatuan itu.

Sebaliknya, Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata syarikat atau individu yang berminat seharusnya berjumpa dan melakukan rundingan dengan persatuan itu sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Kami tidak mahu KAFA menjadi tempat bagi kepentingan diri dalam usaha kami untuk memperkuatkan persatuan dan akhirnya nama syarikat atau individu itu meletup tanpa ada hasil kepada KAFA.

"Tindakan itu memberikan kesan kepada rundingan kami dengan pihak yang serius untuk membeli atau bekerjasama dengan persatuan," katanya kepada Bernama, di Kota Bharu hari ini.

 

LATIHAN Pasukan tetap menjalani latihan hari ini. Latihan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 yang bermain...

Posted by Kelantan FA on Wednesday, August 12, 2020


Sebelum ini,  media melaporkan terdapat beberapa pihak berminat untuk membeli KAFA, antaranya pakar pelaburan Norizam Tukiman dan bapa kepada pemain negara, Wan Kuzain dan Wan Kuzri, iaitu Wan Kamal Wan Napi.

Ahmad Muzakkir berkata sesiapa ingin memiliki Kelantan FC tidak mungkin memiliki kuasa penuh kerana ia juga tertakluk kepada penubuhan persatuan itu yang mana KAFA sebuah persatuan yang dipertanggungjawabkan.

"Untuk mahu kuasa penuh daripada KAFA sukar berlaku kerana apa jua terjadi akan kembali dan terpalit kepada KAFA, oleh itu KAFA mesti ada kuasa juga.

"Ia sudah terjadi pada hari ini memadangkan pemilikan saham Syarikat TRW Sdn Bhd sebanyak 80 peratus dimiliki penaja utama sementara 20 peratus dimiliki oleh KAFA. Akhirnya segala beban telah kembali kepada KAFA setelah penaja utama itu menarik diri," katanya.

Katanya, sesiapa yang ingin membeli KAFA khususnya pasukan Kelantan pihaknya mengalu-alukan dan boleh berunding semeja untuk mencapai kata sepakat.

"KAFA berusaha selesaikan hutang, namun untuk jangka masa yang singkat mungkin sukar dilakukan jika itu syarat yang diletakan oleh pihak yang berhasrat mengambil alih atau membeli pasukan Kelantan,” katanya.

-- BERNAMA

 
 

About Author

Bernama

Comment