Sang Badak tetap berpuas hati walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Jurulatihnya, Jelius Ating, berkata perlawanan itu agak seimbang dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menang.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 45 tahun itu mengakui dia tidak mempunyai banyak pilihan terhadap barisan pemain dalam perlawanan itu berikutan kecederaan yang dialami beberapa anak buahnya.

Malah, beliau juga terpaksa menyenaraikan pemain yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dalam perlawanan itu.

"Jika kita lihat perlawanan tadi (semalam), ia agak seimbang dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang.

"Cuma apa yang saya lihat, kekurangan kami ialah hanya memiliki skuad yang kecil dan saya tidak punya banyak pilihan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Jelius berkata beliau kini hanya memiliki 18 pemain dalam skuad senior yang cergas untuk bermain, termasuk tiga penjaga gol.

"Saya juga terpaksa menggunakan seorang pemain dari skuad Piala Presiden Sabah bagi melengkapkan senarai 18 pemain dalam perlawanan malam ini (semalam).

"Selain itu, barisan pemain yang kami ada juga bukan semua cergas sepenuhnya. Maxsius (Musa) yang berada dalam kesebelasan utama baru kembali daripada kecederaan manakala Leopold (Alfonso Otong) dan Dendy (Lowa) yang berada di bangku simpanan juga sebenarnya berada dalam senarai cedera," katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului JDT II pada minit ke-31 menerusi jaringan ketua pasukan, Rawilson Batuil.

Bagaimanapun, kelebihan pasukan tuan rumah itu berjaya dipadamkan Shahfiq Shahrudin apabila meledak gol untuk pasukannya pada minit ke-44 bagi menjadikan kedudukan 1-1 dan ia kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Jurulatih berusia 45 tahun it, berkata dua pemain yang diketepikan pada aksi malam tadi, iaitu Alto Linus dan Rahman Shah Marajeh, yang mengalami kecederaan lutut kemungkinan akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini.

"Ini bermakna kita akan kehilangan mereka untuk tempoh yang lama dan ini bakal memberi satu lagi ujian bagi pasukan yang kini semakin 'mengecil' dengan pilihan pemain yang terhad.

"Selepas perlawanan tadi (semalam), Lee Gil Hoon juga mengadu sakit pada bahagian belakangnya, saya harap ia tidak serius," katanya.