Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, berkata masalah ketumpulan jentera serangan di depan gawang lawan adalah satu perkara yang lebih besar berbanding semangat berpasukan.

The Gunners turun menentang Bournemouth tanpa Alexis Sanchez dan Mesut Ozil di tempat lawan dalam perlawanan yang menyaksikan anak buah Wenger tewas 1-2, semalam.

Penyerang yang memecahkan rekod perpindahan kelab, Alexandre Lacazette, serta Danny Welbeck dilihat bergelut untuk memberikan impak dalam aksi di Stadium Vitality itu, yang membuat Wenger kini mula risau tatkala Sanchez dilihat semakin menghampiri jalan keluar untuk menyertai salah satu daripada kelab Manchester.

"Saya tidak memikirkan tentang semangat berpasukan.

"Saya hanya risau apabila kami tidak begitu berbahaya di depan gawang lawan. Kami begitu hambar dalam melakukan serangan sehingga tidak dapat mencipta peluang," kata Wenger.

"Secara keseluruhan, ia adalah satu perlawanan yang sukar buat kami. Kami mendahului 1-0 tetapi kemudian melakukan dua kesilapan mudah. Pemain-pemain tidak gagal dalam membuat keputusan.

"Kami harus memikirkan punca tewas. Ia sangat mengecewakan."

Gol penyamaan Callum Wilson serta jaringan kemenangan oleh Jordon Ibe membuat Wenger mempersoalkan corak permainan yang ditampilkan oleh barisan pertahanannya.

"Kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dan ia perlu dilihat secara objektif

"Pasukan yang bertarung daripada zon relegasi akan berjuang dan anda tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.

"Kami patut memenangi perlawanan ini. Saya rasa jika anda menyaksikan semula gol kedua, ia adalah daripada kesilapan yang terlalu banyak dan kami terpaksa menanggungnya," katanya lagi.