WATFORD 3 LIVERPOOL 0


Virgil van Dijk melabel prestasi Liverpool dalam kekalahan 0-3 kepada Watford awal pagi tadi sebagai "tidak boleh diterima" yang menyaksikan rekod 44 perlawanan tanpa kalah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur.


The Reds ke Vicarage Road berbekalkan 18 kemenangan liga berturut-turut, satu lagi kemenangan untuk mencipta rekod baru, tetapi mereka gagal menjelmakan aksi terbaik untuk memberi ruang kepada Watford untuk meraih kemenangan.

Ismaila Sarr menjadi watak utama kemenangan tuan rumah dengan meledak dua jaringan pertama buat Watford dalam separuh masa kedua sebelum umpanannya kepada Troy Deeney menggegar jaring ketika permainan berbaki 17 minit, ketiga-tiga gol itu terhasil sejurus Gerard Deulofeu terpaksa dikeluarkan akibat kemungkinan mengalami kecederaan lutut yang serius.

Liverpool jarang mengancam pintu gol yang dikawal Ben Foster dan pemain Belanda itu akur bahawa The Reds beraksi tidak cukup baik dan mengkritik cara mereka tewas.


"Sekiranya anda melepaskan tiga gol -- maka ada sesuatu yang kami tidak lakukan dengan betul dalam tempoh beberapa lama -- - jelas sekali kami harus memperbaiki mutu sebagai sebuah pasukan dan kami akan melakukannya," katanya kepada Sky Sports.

"Sukar untuk menelan kekalahan ini, saya fikir satu-satunya perkara yang positif ialah kami akan menghadapi perlawanan Piala FA (menentang Chelsea) dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Dalam perlawanan terakhir, kami telah dibolosi dalam satu situasi bola mati, ia satu jaringan yang baik. Hari ini kami sepatutnya beraksi dengan lebih baik tetapi jika anda melihat keseluruhan musim ini, kami telah bertahan dengan baik dan mencipta rekod bersih terbanyak dalam liga.

"Begitupun, kami sedar ada ruang untuk penambahbaikan. Itulah perkara baik mengenai mentaliti kami. Kami tidak akan berpaling daripada hakikat ini dan kami perlu perbaiki prestasi, melakukannya dengan lebih baik.

"Sukar untuk terima kekalahan 0-3 di sini termasuk dengan cara sebegini. Sepanjang musim ini, kami tidak pernah tewas seperti ini. Saya fikir pihak lawan telah beraksi dengan baik tetapi kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi dan kami akan berbuat demikian."

Kekalahan itu bermakna kelab dari Merseyside berkenaan gagal meraih rekod tanpa kalah musim ini, namun Van Dijk menegaskan ia tidak pernah bermain di minda pemain.


Apabila ditanya mengenai peluang untuk mengakhiri musim ini dengan rekod tanpa kalah musim ini, Van Dijk menambah: "Kelakahan adalah memeritkan, rekod itu hanya untuk media dan semua orang yang bercakap mengenainya.

"Kami tidak pernah membangkitkannya sama sekali. Kami akan teruskan perjuangan. Kami mahu memenangi perlawanan seterusnya dalam Piala FA, kami akan berdepan Bournemouth di tempat sendiri dan kami mahu menyerang, mempersembahkan usaha kami sepanjang musim ini dan itulah satu-satunya cara kami memandang ke depan."

Meskipun tumpas, Liverpool kekal 22 mata mengatasi Manchester City di puncak saingan.