Penggempur Everton, Theo Walcott, telah menjalani pembedahan perut dan bakal terlepas sambungan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Walcott mengalami masalah ketika sesi latihan tatkala Everton mempersiapkan diri untuk berdepan seteru, Liverpool, di Goodison Park, 21 Jun ini.

Dia dijangka diketepikan selama empat minggu selepas menjalani pembedahan pada Isnin lalu bagi memastikan dia tidak terlepas keseluruhan baki liga.

"Pemain berusia 31 tahun itu telah menjalani pembedahan perut pada Isnin lalu selepas mengalami tanda-tanda sewaktu kembali menjalani latihan bersama skuad utama, kata wakil kelab.

"Dia kini menjalani proses pemulihan di bawah pengawasan pasukan perubatan kelab."

Walcott -- yang telah melakukan 21 penampilan liga musim ini -- mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan yang diberikan melalui media sosial.

Jean-Philippe Gbamin, Yerry Mina dan Andre Gomes turut mengalami kecederaan sejak The Toffees menyambung latihan.

Awal pagi semalam, Everton menerima cadangan untuk melayan kunjungan Liverpool secara tertutup berbanding beraksi di venue berkecuali.