Wayne Rooney yakin rekod jaringannya di Manchester United akan terus berkekalan dan hanya dengan menandatangani semula Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi mampu memintasnya.

Penyerang itu meninggalkan United dan menyertai semula Everton, bulan lalu, 13 tahun selepas dia berhijrah dari Goodison Park ke Old Trafford.

Rooney kembali ke Everton dengan namanya terpahat selaku penjaring terbanyak United dengan 253 gol, empat jaringan lebih banyak daripada Bobby Charlton.

Pemain berusia 31 tahun itu percaya kekurangan pemain yang kekal bersama sebuah pasukan dalam tempoh yang lama bermakna tiada siapa yang mampu memecahkan rekodnya kecuali jika seorang pemain yang benar-benar berbakat menyertai The Red Devils.

"Rekod itu hanya akan dipecahkan oleh seseorang seperti Messi atau Ronaldo, pemain-pemain yang benar-benar boleh memberikan impak di depan gol," kata Rooney.

"Tetapi dalam bola sepak kini, tiada pemain yang akan kekal bersama satu pasukan dalam tempoh yang sangat panjang. Ia hanya mampu dilakukan oleh pemain seperti saya yang bersama pasukan selama 13 tahun.

"Ia merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan. Ia adalah legasi saya bersama United."

Rooney memecahkan rekod tersebut Januari lalu ketika bertemu Stoke City, pasukan sama yang bakal dihadapinya bersama Everton dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan.