Ole Gunnar Solskjaer percaya Manchester United perlu mendapatkan pemain yang mampu menyamai sumbangan legenda kelab itu, Bryan Robson.

United melalui jelajah di Australia dengan baik selepas menewaskan Perth Glory 2-0 di Stadium Optus, Sabtu lalu.

Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka -- yang merupakan dua pemain baru ketika jendela perpindahan musim panas -- melakukan penampilan pertama dalam aksi tersebut.

Tatkala perbincangan dengan Leicester City bagi mendapatkan khidmat Harry Maguire sedang dijalankan, Solskjaer dilaporkan mahu menambah pemain tengah sebelum tamat jendela perpindahan 8 Ogos ini.

Pemain Newcastle United, Sean Longstaff, dikaitkan ke Old Trafford sambil The Magpies meletakkan tanda harga GBP50 juta (RM256 juta) dan wujud spekulasi mengatakan perjanjian membawa masuk pemain Sporting Lisbon, Bruno Fernandes, mengalami masalah.

Robson merupakan bintang di bahagian tengah United ketika era 80-an dan 90-an, yang membuatkan Solskjaer berkata The Red Devils perlu mencari pemain yang mampu beraksi sama seperti bekas tonggak England itu bagi mengemudi mereka kembali ke kejuaraan utama.

"Kami perlu menang semula," katanya.

"Kami dalam proses membina skuad baru. Kami membawa masuk staf kejurulatihan baru. Saya percaya kepada kelab dan projek ini.

"Untuk menjadi pengurus pasukan ini, ia hebat. Saya berdiri di sebelah sejarah kelab ini (Robson). Saya tidak pernah berpeluang beraksi dengannya tetapi kami memerlukan pemain sepertinya di dalam pasukan.

"Kami menunggu pemain muda untuk hadir kerana kami mempunyai ramai pemain bagus dan saya pasti semua dapat melihat aksi terbaik mereka dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Terdapat juga pemain berpengalaman yang mempunyai baki kontrak selama beberapa tahun. Kami mampu kembali ke tahap sebenar, itu sudah pasti."

United bakal berdepan Leeds United dalam aksi kedua Jelajah Australia esok sebelum menentang Inter Milan, Tottenham Hotspur dan AC Milan bagi saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa serta aksi persahabatan berdepan Kristiansund.