Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkan format baru Liga Juara-Juara (UCL), sehari selepas hasrat kontroversi penganjuran Liga Super Eropah (UCL) diumumkan.

Pembaharuan itu mendapat sokongan sebulat suara daripada Lembaga Persatuan Kelab Eropah (ECA) dan Jawatankuasa Pertandingan Kelab UEFA dengan apa yang digambarkan oleh badan induk benua itu sebagai rundingan yang 'memperluaskan lagi seluruh keluarga bola sepak'.

Di bawah peraturan baru yang diumumkan semalam, sebanyak 36 pasukan akan bertanding dalam UCL berbanding 32 ketika ini, sementara format peringkat kumpulan yang menyaksikan lapan kumpulan yang terbahagi kepada empat pasukan juga diubah.

Setiap pasukan sebaliknya akan beraksi 10 perlawanan peringkat kumpulan sebelum mara ke format kalah mati pusingan 16. Pembaharuan itu yang tidak terlepas dengan kritikan berkenaan akan diperkenalkan pada musim 2024-25.

Perubahan format yang serupa juga akan berlaku dalam Liga Europa dengan membabitkan enam perlawanan di peringkat kumpulan.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, berkata: "Format baru ini turut menyokong status dan masa depan perlawanan domestik di seluruh Eropah. Ia mempertahankan prinsip bahawa prestasi domestik harus menjadi kunci untuk kelayakan dan menegaskan kembali prinsip perpaduan melalui perlawanan dan persaingan terbuka.

"Format yang dikembangkan ini akan tetap mengabadikan impian mana-mana pasukan di Eropah untuk turut serta dalam UCL, hasil pencapaian mereka di atas padang dan ia akan membolehkan kita berdaya maju, makmur, dan menjamin pertumbuhan jangka panjang buat semua pihak dalam bola sepak Eropah, bukan hanya kartel kecil yang dipilih sendiri.

"Bola sepak adalah harta sosial dan budaya yang diperkaya dengan nilai-nilai, tradisi dan emosi yang dikongsi di seluruh benua ini, Sebagai badan pentadbir dan penganjur perlawanan Eropah, adalah menjadi tugas UEFA untuk melindungi warisan ini sambil memimpin perkembangan bola sepak yang positif di Eropah demi persatuan kebangsaan, liga, kelab, pemain, dan peminat di setiap peringkat.

"Inilah sebabnya mengapa kami menjalani proses perundingan yang mendalam sepanjang dua tahun terakhir ini sebelum cadangan kami ini diterima sebulat suara dan kami yakin bahawa pembaharuan ini akan mencapai objektif tersebut."